
Malaysia sangat bergantung kepada import seperti gandum dan jagung yang digunakan untuk dedak ayam dan dengan perang antara Rusia dan Ukraine, iaitu negara yang menyumbang satu pertiga daripada pengeluaran gandum global dan juga pengeksport utama bijirin makanan seperti jagung, memberi impak yang teruk kepada import.
“Kerajaan persekutuan seharusnya bertindak segera dengan melibatkan semua kerajaan negeri untuk menyediakan tapak tanah secara besar-besaran secepat mungkin untuk tujuan penanaman bijirin untuk mengurangkan kebergantungan kepada import,” kata Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dalam kenyataan.
“Walaupun Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah menyediakan peruntukan RM528.52 juta untuk pemberian subsidi RM0.60 sen/sekilogram, kadar ini perlu disemak semula selari dengan tekanan kos dedak yang terlalu tinggi.
“Bantuan subsidi juga perlu dilaksanakan tanpa kerenah birokrasi dan disalurkan kepada penternak dengan segera.”
Sebelum ini dilaporkan bahawa empat syarikat ternakan merancang untuk mengadakan “boikot” pada hujung minggu disebabkan kelewatan kerajaan memberi subsidi.
Menegaskan bahawa keputusan kerajaan untuk menghentikan permit diluluskan (AP) untuk import bahan makanan tidak akan menyelesaikan masalah kenaikan harga makanan dan menjamin bekalan, Loke berkata, banyak negara sedang bergelut dengan isu sekuriti makanan domestik sendiri dan negara pengeluar makanan utama akan fokus pada keperluan sendiri dahulu.
“Tambahan pula, dengan nilai mata wang ringgit yang lemah, sebarang import makanan dari negara lain melibatkan harga belian yang lebih tinggi,” tambahnya.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata, mesyuarat mingguan Jemaah Menteri dibawa ke hadapan dari Rabu ke hari ini untuk membincangkan isu kenaikan harga barangan keperluan dan bekalan ayam negara.