
Malah ada antara mereka yang tidak sempat bersarapan atau hanya berbekalkan sebungkus roti dan air kotak sementara menunggu.
Nur Hazwan Sharifulazman, 37, yang berurusan untuk mendapatkan maklumat mengenai pasport diperbaharui secara dalam talian berkata meskipun tiba 7.50 pagi, orang ramai sudah beratur panjang kira-kira 400 meter daripada pintu masuk kompleks berkenaan.
Pengurus kemudahan di sebuah syarikat swasta di Singapura berkata orang ramai terlebih dahulu perlu mendapatkan nombor giliran di luar pintu masuk sebelum dibenarkan masuk ke perkarangan kompleks berkenaan dan perlu mengambil sekali lagi nombor giliran di kaunter disediakan mengikut urusan masing-masing.
“Sekitar 8 pagi ada pegawai imigresen beri nombor giliran kepada orang ramai yang menunggu di luar pintu masuk, ketika itu ramai juga orang beratur dan ada rezeki saya dapat nombor.
“Kalau diikutkan sejak 8 pagi hingga 12 tengah hari, kira-kira empat jam kami masih lagi beratur untuk ambil sekali lagi nombor giliran di kaunter untuk berurusan di pejabat imigresen,” katanya ketika ditemui di kompleks berkenaan, di sini hari ini.
Dia meminta pihak berkaitan melihat semula pengurusan di kompleks berkenaan dan melakukan penambahbaikan bagi memastikan isu seumpama itu tidak berulang.
Mohd Nasiruddin Md Nazim, 31, yang juga mahu melakukan urusan sama berkata dia diberikan sebungkus roti dan air kotak oleh orang ramai kerana tidak sempat bersarapan.
“Saya ingatkan pergi awal pagi sudah terlalu awal, tetapi sampai sahaja orang ramai sudah beratur panjang.
“Walaupun urusan memperbaharui pasport dilakukan secara dalam talian tetapi proses untuk ambil (pasport) juga mengambil masa agak lama…saya pun datang hari ini untuk tanya maklumat sama ada pasport sudah siap atau belum kerana masih belum dapat pengesahan,” katanya.
Pekerja barista di sebuah restoran makanan segera di Singapura sejak 2011 itu berkata pihak berkaitan harus mencari jalan penyelesaian dengan kadar segera bagi memudahkan urusan orang ramai di kompleks berkenaan.
Sesak susulan pembukaan sempadan
Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharuddin Tahir berkata, kesesakan orang ramai menunggu di luar kompleks berkenaan kerana ramai berhasrat memperbaharui pasport antarabangsa susulan pembukaan sempadan negara sejak 1 April lepas.
Beliau berkata selain itu, ada ramai juga yang bersesak di kompleks itu untuk urusan lain, seperti urusan yang berkaitan dengan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, yang turut ditempatkan di kawasan berkenaan.
Katanya secara purata 700 naskhah passport dikeluarkan sehari di seluruh Johor bagi bulan Mac, bagaimanapun jumlah itu meningkat kepada 1,000 naskhah sehari pada bulan April.
“Pada Mei pula, ia terus meningkat dan kami pernah menguruskan sehingga 1,800 naskhah sehari. Kami jangka jumlah ini akan kekal berterusan berikutan sambutan yang menggalakkan,” katanya kepada pemberita di Kompleks KDN Setia Tropika.
Sebelum ini, tular di media sosial yang menunjukkan beberapa rakaman video memaparkan orang ramai beratur panjang di luar pintu masuk kompleks berkenaan.
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi juga turun padang pagi tadi untuk meninjau situasi di kompleks berkenaan dan mengatakan bahawa keadaan itu dialami sejak 1 Mei lepas.
Baharuddin berkata, selain Kompleks KDN Setia Tropika, sembilan lagi pejabat pengeluaran passport di negeri itu menjadi tumpuan ramai, termasuk pejabat di daerah Mersing yang hanya mempunyai dua hingga tiga kaunter.
“Dengan lanjutan operasi sehingga 10.30 malam, kita mampu mengeluarkan kira-kira 700 naskhah sehari, berbanding 500 naskhah (sekiranya pejabat sehingga 5.30 petang),” katanya.
Beliau berkata, jabatan itu akan menambah baik aspek keselesaan menunggu bagi mereka yang mahu berurusan dengan jabatan itu supaya memudahkan mereka untuk merancang tempoh berurusan.