Pelajar retak pergelangan tangan dibelasah senior

Pelajar retak pergelangan tangan dibelasah senior

Bapa mangsa kecewa dengan pengurusan sekolah yang didakwa cuba menutup kejadian itu.

Pelajar itu dipercayai dipukul termasuk disepak tiga pelajar Tingkatan 3 dan 4 sehingga mengalami retak pergelangan tangan, selain lebam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar Tingkatan 1 dibelasah senior sehingga lebam termasuk mengalami retak tulang pergelangan tangan, dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Sikamat, dekat Seremban.

Dalam kejadian 13 Mei lalu, mangsa, 13, dipanggil pelajar senior ke sebuah bilik di asrama sekolah terbabit, kira-kira 12 tengah malam kerana didakwa membuat masalah.

Bapa kepada mangsa, Zainizam Wakimun, 45, berkata anaknya pada mulanya enggan memaklumkan kejadian itu kerana bimbang dibuli lebih teruk, namun isterinya yang mendapat tahu terus menghubungi pihak sekolah.

“Anak saya menjadi mangsa buli dan dipukul. Ketika dipanggil ke bilik asrama itu, dia dipukul pada badan dan disepak tiga pelajar tingkatan empat dan seorang pelajar tingkatan tiga,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Zainizam berkata, akibat kejadian itu anaknya mengalami lebam, sakit pada badan, pinggul, tangan dan bahu, selain baru sahaja disahkan mengalami retak pada pergelangan tangan.

“Anak menghubungi abangnya keesokan pagi dan menceritakan kejadian itu dalam keadaan menangis, namun meminta supaya tidak memaklumkan kepada saya. Namun, abangnya menceritakan kepada isteri sebelum isteri ke sekolah untuk berjumpa pengetua.

“Ketika perjumpaan bersama pengetua, isteri menunjukkan kecederaan dialami anak dan mereka juga terkejut,” katanya.

Zainizam berkata, dia kesal dengan pihak sekolah kerana cuba menutup kejadian itu, selain cuba menyelesaikan perkara itu di peringkat sekolah sedangkan anaknya mengalami kecederaan dan trauma.

“Saya menghantar anak ke sekolah berkenaan bagi mengembangkan bakat sukan bola sepaknya kerana sekolah ini mempunyai rekod baik dalam sukan itu, selain pencapaian akademiknya juga bagus.

“Namun, sekarang anak seolah-olah trauma dan bermati-matian tidak mahu ke sekolah. Pelajar yang mencederakan anak saya masih belum diambil tindakan dan masih meneruskan pembelajaran seperti biasa,” katanya.

Susulan kejadian itu, Zainizam membuat satu laporan di Balai Polis Sikamat, pada 13 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.