
Hemi Mohd berkata, selepas berita mengenai serangan pada 18 Mei itu tular, beratus warganet menyuarakan rasa simpati dan berkongsi maklumat mengenai suspek.
Hidung isterinya, Fuza Nordin retak dan terpaksa menerima lima jahitan. Beliau juga lebam di muka, pipi dan dahi, selain mengalami pendarahan di mata kanannya.
“Beberapa orang memberitahu saya, ini bukan kali pertama suspek menyebabkan gangguan. Dia terlepas kerana dianggap mengalami masalah mental,” katanya.
Hemi berkata, penduduk tempatan biasanya mengelakkan kawasan di sekitar bangunan Centre Point, Klang kerana ia dianggap sering menjadi tempat penagih dadah dan gelandangan.
Fuza, yang juga seorang jurubahasa mahkamah, pergi ke pusat beli-belah itu untuk membaiki telefonnya.
“Sebaik keluar dari keretanya, suspek muncul entah dari mana dan menendangnya dari belakang. Selepas terjatuh, lelaki itu merampas telefon dari tangannya dan memukul kepalanya beberapa kali. Isteri saya sempat menendangnya dan melarikan diri ke arah pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan.”
Menurut laporan China Press, suspek memukul kepala Fuza sebanyak 20 kali dan mencucuk matanya.
Hemi, yang juga jurulatih taekwondo di sebuah akademi persendirian, berkata motif suspek tidak jelas.
“Saya mengajar seni mempertahankan diri. Saya tahu jika seseorang mahu menyamun kamu, mereka tidak akan memukul kamu berkali-kali seperti itu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Vijaya Rao berkata, polis masih mengesan suspek dan kes disiasat sebagai cubaan merompak.
Beliau sebelum ini mengesahkan suspek adalah lelaki gelandangan berusia 40-an.
Seorang pekerja kedai di kawasan itu, Amy Azman berkata, gelandangan di sana membeli dadah menggunakan wang sumbangan orang ramai atau hasil menjaga kawasan parkir.
“Apabila khayal, mereka akan melakukan perbuatan jahat seperti membakar pokok, menendang pintu kedai atau memecahkan cermin sisi kereta,” katanya.