
Beliau berkata, PKD akan memutuskan sama ada sekolah di satu-satu lokaliti perlu ditutup sekiranya berlaku pertambahan kes secara mendadak yang berpunca daripada satu sekolah atau tempat sama.
Katanya, walaupun jangkitan HFMD tinggi di Selangor namun ia belum mewajarkan untuk kerajaan negeri menutup semua sekolah.
“Kita telah serahkan tanggungjawab (menutup sekolah) kepada PKD, dan PKD akan ambil keputusan jika ada pertambahan kes yang mendadak di satu lokakiliti yang berpunca daripada satu sekolah atau tempat sama, tindakan tutup itu perlu dibuat.
“Laporan saya dapat dari semasa ke semasa, memang kes tinggi berbanding negeri lain tetapi perebakan di sekolah belum mewajarkan semua sekolah ditutup,” katanya selepas meninjau proses pengundian Pemilihan PKR Bahagian Gombak.
Penyakit HFMD semakin menular dalam kalangan kanak-kanak apabila mencatatkan 31,661 kes di seluruh negara antara Januari hingga 14 Mei lalu.
Peningkatan 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu, apabila Selangor menyumbang jumlah kes terbesar dengan 8,864 diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 4,421 kes.
Sementara itu, mengenai laporan kekurangan bekalan ayam segar di negeri ini, Amirudin berkata kerajaan negeri bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pihak termasuk pembekal bagi menangani masalah berkenaan.
“Saya akan bincang dengan Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS). Saya perlu menyemak semula kapasiti (bekalan ayam) di Selangor dan mungkin satu, dua bulan lagi kita boleh menangani hal ini supaya tidak berpanjangan,” katanya.
Pengerusi PPANS, Idrus Zainal Abidin hari ini mendakwa krisis bekalan ayam berpunca daripada ayam sakit.
Katanya, ribuan anak ayam mati disebabkan sakit dan masalah sama turut dihadapi kebanyakan penternak di Selangor.