
Presidennya, Adnan Mat, berkata sebagai wakil rakyat, Ngeh sewajarnya menasihatkan orang ramai untuk lebih bersopan dalam etika berpakaian bagi menjaga keharmonian semua pihak.
“Cuepacs berpandangan peraturan dikeluarkan setiap ketua jabatan dalam aspek etika berpakaian adalah suatu yang wajar dipraktikkan semua pihak yang berurusan dengan mana-mana organisasi tidak kira swasta mahupun jabatan kerajaan.
“Tidak wajar untuk beliau memberikan contoh seorang petani yang berseluar pendek, Orang Asli yang memakai pakaian tradisional atau orang miskin yang tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian yang sopan kerana Cuepacs yakin setiap warga Malaysia mengetahui etika dalam kehidupan dan tidak akan sesekali melanggarnya dengan sengaja,” katanya dalam kenyataan.
Adnan menambah, contoh diberikan itu seolah-olah menghina golongan tersebut dan Cuepacs yakin walaupun seseorang itu miskin, mereka tetap kaya dengan budi pekerti dan akhlak.
Semalam, media melaporkan, Ngeh meminta ketua jabatan kerajaan supaya meningkatkan prestasi kakitangan awam, berbanding mengawasi pakaian orang ramai berurusan di jabatan kerajaan.
Pemimpin DAP itu juga memberikan contoh golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli pakaian sopan ketika berurusan di jabatan kerajaan.
Dalam pada itu, Adnan yakin warga penjawat awam bijak untuk menggunakan budi bicara atau melihat kepada keperluan semasa sekiranya pelanggan yang hadir ke premis kerajaan mempunyai kesulitan tertentu untuk mematuhi etika berpakaian.
“Cuepacs ingin menegaskan agar tiada pihak-pihak yang cuba memainkan isu tersebut demi kepentingan ideologi politik masing-masing.
“Elakkan melakukan serangan kepada perkhidmatan awam hanya dengan tujuan atau kepentingan politik yang tidak bertanggungjawab,” katanya.