Bakal jemaah haji remaja disaran ambil dos penggalak Covid-19

Bakal jemaah haji remaja disaran ambil dos penggalak Covid-19

KKM menetapkan syarat untuk jemaah haji remaja mengambil dos penggalak Covid-19 ialah sekurang-kurangnya lima bulan selepas menerima dos kedua vaksin dos primer.

Bakal jemaah haji boleh mendapatkan dos penggalak dengan ‘walk in’ ke pusat pemberian vaksin berserta dokumen sokongan berkaitan seperti bukti surat tawaran menunaikan haji. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan semua bakal jemaah haji remaja berumur 12 hingga 18 tahun untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sebagai langkah tambahan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, syarat yang ditetapkan KKM bagi jemaah haji remaja mengambil dos penggalak Covid-19 ialah sekurang-kurangnya lima bulan selepas menerima dos kedua vaksin dos primer.

“Bagi remaja yang telah lengkap mengambil dos primer dan didapati mengalami jangkitan Covid-19, mereka layak menerima dos penggalak sebaik sahaja pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Khairy berkata, memandangkan jemaah haji juga perlu mengambil suntikan vaksin lain seperti meningococcal, influenza atau pneumococcal, pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 boleh diberikan dalam sela masa dua minggu sebelum dan selepas vaksin lain diberikan.

Katanya, jemaah haji boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir tanpa janji temu (walk-in) di pusat pemberian vaksin (PPV) yang masih beroperasi, dengan membawa dokumen sokongan berkaitan seperti bukti surat tawaran menunaikan haji.

Beliau berkata, KKM sebelum ini menyarankan semua bakal jemaah haji berusia 60 tahun dan ke atas serta jemaah berusia 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Katanya, langkah itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah haji semasa berada di Tanah Suci, dengan mengambil kira perhimpunan yang ramai serta melibatkan jemaah haji seluruh dunia.

Khairy berkata, sebagai langkah pencegahan dan kawalan, kerajaan Arab Saudi menetapkan semua jemaah haji perlu mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum berlepas, selain turut mengesyorkan pengambilan dos penggalak bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, terutamanya di tempat sesak dan pengangkutan awam di negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.