‘Tak ada masalah’, kata Zahid berhubung krisis Umno Melaka

‘Tak ada masalah’, kata Zahid berhubung krisis Umno Melaka

Presiden Umno hanya ketawa apabila mengulas berhubung desakan menyingkirkan Ab Rauf Yusoh sebagai ketua Umno Melaka.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, berkata “kemelut” yang berlaku dalam Umno Melaka bukan luar biasa.
PETALING JAYA:
“Tak ada masalah apa-apa,” kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, menafikan timbul spekulasi bagi menyingkirkan Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh, selepas bertemu sekumpulan ketua Umno bahagian, baru-baru ini.

Zahid berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan sekumpulan ketua bahagian Umno Melaka, termasuk mengesahkan turut bertemu Rauf.

Namun, presiden Umno itu menegaskan ia bukanlah kemelut yang luar biasa.

Menurut laporan Malaysiakini, Zahid sekadar ketawa sebagai reaksi terhadap desakan untuk mengetepikan Rauf yang juga speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, untuk mengetuai Umno negeri.

“Biasalah… laki bini pun bergaduh.”

Pada 8 Mei lalu, Pemangku Ketua Umno Bahagian Alor Gajah Rospandi Leman, berkata beliau tidak menafikan ada paksaan pihak tertentu supaya Sulaiman Md Ali, menandatangani surat peletakan jawatan, dalam masa terdekat.

Katanya, semua mengetahui “siapa” dalang yang cuba menjatuhkan ketua menteri itu.

Pada 15 Mei, memetik laporan Utusan, Timbalan Ketua Umno Melaka Ali Mohamad, mengakui Sulaiman wajar menggantian Ab Rauf Yusoh, sebagai ketua Umno negeri.

Orang nombor dua Umno negeri itu, berkata Sulaiman paling layak dilantik menerajui Umno Melaka dan pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, sebagai mana kelaziman tradisi dalam Umno sendiri.

“Rakyat Melaka sudah tahu tentang seorang individu yang bercita-cita tinggi hendak menjadi ketua menteri selepas BN (Barisan Nasional) menang pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Nov tahun lalu.

“Semua orang tahu siapa individu yang mengingkari keputusan pucuk pimpinan parti memilih Sulaiman sebagai ketua menteri dan individu yang sama juga menimbulkan onar dengan segala ugutan serta paksaan terhadap Sulaiman.

“Rakyat Melaka juga tahu punca kekecohan majlis angkat sumpah jawatan Sulaiman dilakukan sehingga pukul 1 pagi, sejurus BN diumumkan memenangi PRN Melaka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.