HFMD: Premis jagaan kanak-kanak di Melaka catat lebih 4 kes diarah tutup

HFMD: Premis jagaan kanak-kanak di Melaka catat lebih 4 kes diarah tutup

Pengusaha premis yang tidak segera melaporkan jumlah kes HFMD boleh dikenakan tindakan mahkamah bawah Akta 342, kata Pengarah JKNM Dr Rusdi Abd Rahman.

Pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak diminta memastikan kebersihan di premis mereka sentiasa pada tahap terbaik bagi mengelak penularan HFMD.
MELAKA:
Premis berkaitan kanak-kanak seperti taska, tadika dan pusat jagaan di Melaka yang merekodkan lebih empat kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan ditutup selama 10 hari selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) Dr Rusdi Abd Rahman berkata, pengusaha premis berkenaan diminta segera melaporkan perkara tersebut kepada JKNM bagi tindakan kawalan dan pencegahan, khususnya membabitkan kanak-kanak berusia satu hingga 10 tahun.

Pengusaha yang gagal melaporkan perkara berkenaan dengan kadar segera boleh dikenakan tindakan mahkamah bawah Akta 342, tambahnya.

“HFMD selalunya boleh hilang sendiri tetapi adakalanya ia akan mendatangkan komplikasi yang teruk, iaitu miokarditis atau keradangan otot jantung dan itu paling kita takuti.

“Jika kes yang dilaporkan melebihi empat, premis tersebut akan ditutup. Begitu juga jika hanya dua kes tetapi kita dapati ramai kanak-kanak di premis itu demam tetapi belum ada lepuh, kita juga akan tutup terus premis itu,” katanya kepada pemberita lewat malam tadi.

Mengulas lanjut Rusdi berkata, penutupan premis berkenaan dilakukan ekoran kes HFMD di Melaka yang terus merekodkan peningkatan dari hari ke hari sehingga mencecah 1,633 kes, dengan 20 premis diarah tutup setakat Rabu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 772 kes dilaporkan di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (516 kes) dan Jasin (345 kes), manakala premis yang ditutup terdiri daripada taska (enam), tadika (tujuh), tabika (satu), rumah persendirian (empat) dan pusat jagaan kanak-kanak (dua).

Pada Rabu lepas sahaja katanya, kes yang didaftarkan di ketiga-tiga daerah di Melaka melebihi paras epidemik, iaitu 148 kes di Melaka Tengah, Alor Gajah (83 kes) dan Jasin (24 kes).

“Kita berharap kes HFMD ini akan dapat dikurangkan tetapi kita amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak, terutamanya pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak agar memastikan kebersihan di premis mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam pengurusan anak yang dijangkiti HFMD kerana penyakit itu bukan sahaja boleh menjangkiti anak yang lain melalui lepuh, tetapi juga melalui najis dan air kencing mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.