
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, walaupun bukan rahsia bahawa AP berkait rapat dengan naungan politik, tindakan Ismail dilihat mampu meraih sokongan kukuh daripada umum menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Kartel-kartel ini mempunyai pengaruh kuat dalam bidang perniagaan. Ini pasti keputusan yang popular dengan rakyat kerana akan memudahkan aliran bekalan makanan,” katanya kepada FMT.
“Ia tindakan populis yang memerlukan semangat politik kuat. Ismail menjadi perdana menteri tanpa mendapat sokongan ‘warlord’ politik beliau untuk tempoh agak lama dan mungkin beliau melihat sokongan rakyat sebagai sesuatu yang lebih penting.”
Seorang lagi penganalisis, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura menyifatkan perubahaan dasar itu sebagai “berani” memandangkan umum maklum bahawa kebanyakan pemegang AP mempunyai hubung kait politik yang kuat.
Bagaimanapun katanya, golongan itu tidak semestinya penyokong Ismail.
“Jika kepentingan mereka tergugat, ia mungkin akan menyebabkan pendirian mereka lebih tegar menentangnya,” katanya.
Tambahnya, masih belum dapat dijangka sama ada tindakan Ismail itu memberi kesan positif dalam kalangan perniagaan kecil dan sederhana serta pengguna secara umum sehingga cukup untuk mengimbangi reaksi negatif yang dijangka ditunjukkan oleh golongan pemegang AP.
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim turut menyuarakan pandangan di Twitter dengan menyifatkan pemansuhan AP import makanan itu sebagai keputusan hebat yang mampu memastikan populariti berterusan untuk Ismail.
Rabu lalu, Ismail mengumumkan keputusan itu sebagai langkahyang diluluskan Kabinet bertujuan memastikan bekalan makanan mencukupi.
Bagaimanapun, AP bagi import beras masih berkuat kuasa.