
Ketua Polis Kulai Tok Beng Yeow berkata, pada 15 Mei, pihaknya menerima laporan daripada pemilik patung tersebut mengenai kejadian.
Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian dipercayai berlaku di hadapan rumah pengadu di Taman Scientex Senai, Johor, kira-kira 9 pagi pada tarikh sama laporan dibuat.
“Pengadu mengesahkan bahawa patung sembahyang miliknya itu diletakkan di luar halaman rumah untuk hiasan, bukannya untuk tujuan sembahyang,” kata Tok dalam kenyataan.
Beliau berkata, pengadu turut memaklumkan bahawa tiada sebarang kerosakan ke atas patung tersebut dan ia telah diletakkan kembali ke tempat asal.
“Salinan rakaman CCTV kejadian telah diambil oleh pihak polis bagi tujuan siasatan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 42 saat yang dimuat naik pengguna Facebook Krishnamoorthy Vichu menunjukkan suspek melakukan perbuatan itu.