Pasukan petugas siasat kematian doktor pelatih bebas soal siapa saja, kata KJ

Pasukan petugas siasat kematian doktor pelatih bebas soal siapa saja, kata KJ

Menteri kesihatan tidak akan campur tangan dan hanya memerlukan pasukan petugas itu memberikan laporan kepadanya dalam masa dua bulan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pasukan petugas mempunyai kebebasan untuk berjumpa doktor pelatih atau pegawai perubatan untuk mendapatkan maklumat.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan pasukan petugas yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian doktor pelatih baru-baru ini mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk bercakap dengan sesiapa sahaja ketika menjalankan siasatan.

Khairy berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam pasukan petugas itu dan hanya memerlukannya memberikan laporan dalam masa dua bulan seperti dipersetujui sebelum ini.

“Saya memberi kebebasan kepada pasukan petugas untuk melakukan apa yang difikirkan patut, kerana ia adalah badan bebas.

“Pasukan petugas mempunyai kebebasan untuk menyoal mana-mana pihak dalam siasatannya dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta semua agensi di bawahnya akan memberikan kerjasama penuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Asma Sedunia 2022.

Beliau berkata, pasukan petugas itu mempunyai kebebasan untuk berjumpa mana-mana doktor pelatih atau pegawai perubatan untuk mendapatkan maklumat.

Minggu lalu, Khairy mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) untuk menyiasat kematian seorang doktor muda di Hospital Pulau Pinang dan budaya buli di hospital kerajaan.

Kumpulan itu juga ditugaskan untuk menganalisis dan menilai budaya kerja dan pengurusan sumber manusia dalam sektor penjagaan kesihatan secara amnya.

Terdapat gesaan daripada pembangkang dan kumpulan kesihatan supya dimasukkan doktor muda dalam pasukan petugas, tetapi Khairy mendakwa pengecualian wakil kumpulan itu adalah untuk memastikan tidak berlaku “prejudis” dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.