Siasat dakwaan set data JPN dijual, pembantu Kit Siang beritahu kerajaan

Siasat dakwaan set data JPN dijual, pembantu Kit Siang beritahu kerajaan

Syahredzan Johan berkata, kerajaan tidak boleh mengambil mudah dakwaan seperti ini kerana ia melibatkan keyakinan orang awam.

Pangkalan data JPN yang mengandungi butiran peribadi empat juta rakyat Malaysia didakwa dijual September lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan harus menjalankan siasatan yang telus dan teliti terhadap dakwaan penyenaraian set data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata setiausaha politik veteran DAP Lim Kit Siang.

Laman sesawang teknologi Lowyat.net semalam melaporkan, set data JPN yang mengandungi maklumat seluruh populasi negara yang dilahirkan antara 1940 dan 2004 – atau lebih 22 juta orang – dijual pada harga USD10,000 (RM43,870) di forum pasaran pangkalan data.

Penjualnya mendakwa data peribadi itu termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar dengan data daripada laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dijual.

“Kerajaan tidak boleh memandang enteng dakwaan-dakwaan seperti ini kerana ia melibatkan keyakinan orang awam terhadap keselamatan data peribadi yang disimpan di pangkalan data badan-badan berkanun, jabatan serta agensi kerajaan.

“Sekiranya benar terdapat kebocoran data peribadi daripada pangkalan data jabatan dan badan awam, ia merupakan suatu pelanggaran keselamatan yang serius dan mendedahkan orang ramai kepada pelbagai risiko termasuk penipuan, kecurian identiti dan juga menjejaskan keselamatan negara,” kata Syahredzan Johan dalam kapasitinya sebagai pengerusi biro media sosial DAP.

Ini susulan dakwaan pangkalan data JPN yang mengandungi butiran peribadi empat juta rakyat Malaysia dijual di forum pasaran pangkalan data September lepas. Pangkalan data itu juga didakwa mengandungi maklumat daripada laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menafikan laporan itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, tiada pencerobohan data berlaku di JPN. Tegasnya, “firewall” sistem kawalan keselamatan data adalah kukuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.