
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan bantuan kepada pesawah itu akan dimasukkan dalam Bajet 2023 yang akan diumum Oktober nanti.
“Saya terkejut jika pesawah tak dapat bantuan. Saya dah berbincang dengan menteri kewangan dan kita bersetuju untuk memberikan bantuan sementara padi dituai iaitu sebanyak RM200 untuk tiga bulan bagi dua musim.
“Jadi semua enam bulanlah bagi satu tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Ke-48, di Dewan Merdeka World Trade Centre (WTC) .
Dalam pada itu, Ismail menggesa Nafas dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menghapuskan budaya ‘orang tengah’ dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan.
Katanya, orang tengah merupakan pihak yang memerah keringat petani dan nelayan selain memanipulasi harga di pasaran.
Perdana Menteri juga mahu Nafas dan LPP melaksanakan anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.
Selain itu, beliau turut menggesa Nafas memberi ‘nafas’ baharu kepada sektor makanan berasaskan pertanian melalui penerapan teknologi tinggi dan pendigitalan bagi meningkatkan pengeluaran sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.
Perdana menteri turut menyaksikan pengumuman agihan kadar dividen 8% bagi Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 2021.