Lynas belum mohon perbaharui lesen, kata AELB

Lynas belum mohon perbaharui lesen, kata AELB

Lynas dikatakan meminta kerajaan untuk mengetepikan syarat penting dalam lesen operasi mereka yang akan tamat pada Mac 2023.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom berkata, tiada perubahan terhadap syarat untuk lesen Lynas, termasuk syarat tambahan bagi proses ‘cracking and leaching’ dijalankan di luar negara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) berkata, pengeluar nadir bumi, Lynas, belum mengemukakan permohonan untuk memperbaharui lesennya.

“Syarat untuk lesen Lynas kekal seperti sebelum ini. Tiada perubahan kepada keperluan yang ditetapkan, termasuk syarat tambahan yang memerlukan Lynas menjalankan proses ‘cracking and leaching’ di luar negara,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Syarikat itu dikatakan meminta kerajaan mengetepikan syarat penting dalam lesen operasi mereka yang akan tamat pada Mac 2023.

Syarat yang ditetapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu ialah memindahkan kemudahan operasi memproses sisa radioaktif larut resap dikenali sebagai “cracking and leaching” yang menghasilkan sisa penulen lesap air (WLP), ke luar Malaysia sebelum Julai 2023.

Lynas dipetik portal itu sebagai berkata, syarat terbabit wajar diketepikan kerana Malaysia berdepan masalah kehilangan pekerja berkemahiran tinggi serta masalah ekonomi.

Sumber mendedahkan bahawa Lynas ada membuat permintaan berhubung syarat itu kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Adham Baba menjelang Aidilfitri lalu.

Bagaimanapun setiausaha Adham berkata, soalan itu perlu dirujuk kepada AELB, manakala Lynas pula belum memberi sebarang maklum balas terhadap soalan itu.

Sejak penubuhan Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) pada 2012, isu sisa radioaktif yang dihasilkannya menimbulkan kebimbangan masyarakat setempat.

Pada 27 Feb 2020, Lynas mengumumkan bahawa AELB memperbaharui lesennya selama tiga tahun lagi sehingga Mac 2023, tetapi tertakluk kepada beberapa syarat.

Antara syarat itu termasuk membangunkan kemudahan pelupusan kekal (PDF) dalam tahun pertama dari tarikh kelulusan dan memastikan loji “cracking and leaching” di luar Malaysia beroperasi sebelum Julai 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.