Kertas siasatan polis trafik iringi anak VIP dirujuk pada pendakwa raya

Kertas siasatan polis trafik iringi anak VIP dirujuk pada pendakwa raya

Polis turut merakam percakapan anak ahli Parlimen yang juga pemandu kereta tersebut.

Ketia Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana kesalahan menggunakan media sosial.
PETALING JAYA:
Siasatan klip video yang tular berhubung dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan awam di Jalan Bukit Gambir dalam kejadian pada 7 Mei lalu sudah siap.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis turut merakamkan percakapan anak seorang ahli Parlimen yang merupakan pemandu kereta tersebut.

“Kita sudah merakam percakapan pemandu kereta yang juga anak kepada ahli Parlimen yang diiringi dua anggota polis trafik tersebut.

“Kertas siasatan kes tersebut telah lengkap dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Sebelum ini, polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik berhubung kejadian mengiringi kenderaan awam.

Polis memaklumkan bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana melibatkan kesalahan menggunakan media sosial.

Klip video mengenai kejadian yang tular di media sosial sejak 7 Mei lalu itu menunjukkan kedua-dua anggota polis berkenaan sedang mengiringi sebuah kenderaan yang dimiliki oleh orang awam.

Paparan video berkenaan mendapat kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan individu berkenaan yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan di Pulau Pinang.

Susulan itu, dua anggota polis trafik tersebut telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan tatatertib berkaitan kes berkenaan selesai.

Shuhaily berkata, setelah siasatan dalaman dijalankan, pihaknya mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi daripada mana-mana pegawai kanan, ibu pejabat polis Bukit Aman atau ibu pejabat polis kontinjen Pulau Pinang untuk tugasan itu dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.