Keputusan permohonan Rewcastle Brown rujuk isu perundangan 28 Julai

Keputusan permohonan Rewcastle Brown rujuk isu perundangan 28 Julai

Mahkamah akan memutuskan sama ada pengarang Sarawak Report itu boleh mencabar tuduhan fitnah jenayah dihadapinya.

Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown menghadapi tuduhan fitnah jenayah. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Julai untuk memutuskan sama ada Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown boleh membuat permohonan ke Mahkamah Persekutuan untuk mencabar sama ada tuduhan fitnah jenayah terhadapnya mematuhi perlembagaan.

Hakim Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan oleh pendakwaan dan peguam bela Gopal Sri Ram, yang mewakili Rewcastle Brown.

Zaini turut mendapatkan pandangan Rajpal Singh yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd Saad berhujah permohonan itu pramatang kerana kes terhadap Rewcastle Brown kini berada di peringkat pengurusan kes di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Sri Ram bagaimanapun berhujah prosiding bermula sebaik anak guamnya didakwa.

Sementara itu, Rajpal yang menyokong pendirian pendakwaan berkata, Rewcastle Brown didakwa secara in absentia (tanpa kehadirannya) dan waran tangkap telah dikeluarkan.

“Waran tangkap belum disempurnakan dan tidak jelas sama ada mereka akan meneruskan perbicaraan tanpa kehadirannya,” katanya.

Rewcastle Brown didakwa pada 23 Sept tahun lalu atas tuduhan memfitnah Sultanah Nur Zahirah dalam buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.

Dia kemudian memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Majistret, di sini, seterusnya untuk kes itu dibatalkan.

Dua bulan lalu, dia mengemukakan permohonan supaya Mahkamah Persekutuan menentukan kesahihan tuduhan terhadapnya mengikut perlembagaan, melibatkan dua isu perundangan.

Sultanah Nur Zahirah turut memfailkan saman fitnah RM300 juta terhadap Rewcastle Brown dan penerbit, Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin, serta pencetak, Vinlin Press Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.