Jokowi setuju pelantikan Tajuddin sebagai duta besar, kata PM

Jokowi setuju pelantikan Tajuddin sebagai duta besar, kata PM

Ismail Sabri Yaakob mempertahankan pelantikan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu sebagai diplomat ke Indonesia.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman disifatkan sebagai “orang politik lama dan berpengalaman”.
PETALING JAYA:
Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia sudah mendapat persetujuan daripada Presiden Jokowi, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Malah Ismail berkata, Tajuddin juga telah mendapat surat persetujuan daripada Jokowi.

“Dia orang politik lama dan berpengalaman, kita tunggulah dia menjalankan tugas,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada pelantikan Tajuddin bagi menggantikan diplomat, Zainal Abidin Bakar yang dilantik pada 2018 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Mengulas mengenai kritikan daripada pelbagai pihak berhubung pelantikan tersebut, Ismail berkata, sesiapa sahaja berhak melakukannya.

“Sesiapa pun yang dilantik, bukan semua orang puas hati,” katanya.

Pelantikan Tajuddin itu sekali gus menyaksikan ahli politik dilantik sebagai duta yang lazimnya diisi oleh golongan diplomat.

Sebelum ini, Zahrain Mohamed Hashim yang juga seorang ahli politik pernah dilantik sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Tajuddin, 74, pernah menyertai delegasi rasmi ketika lawatan kerja perdana menteri ke Indonesia untuk bertemu Jokowi, pada Nov lalu.

Ketika ini, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq mengetuai anggota kedutaan negara di sana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.