
Bekas menteri sumber manusia, M Kula Segaran berkata, adalah tidak selamat untuk menggunakan kren bagi melakukan upacara ritual di gopuram (menara kuil).
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, yang berada hanya 100 kaki dari lokasi serpihan patung itu menimpa seorang wanita berkata, insiden sedemikian boleh dielakkan.
“Seorang ibu kepada tiga anak maut dan tiga lagi cedera. Sebuah pasukan siasatan khas dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) perlu ke tapak itu sejurus selepas kejadian berlaku.
“Terdapat tanda jelas undang-undang keselamatan pekerjaan tidak dipatuhi,” katanya kepada FMT.
Kula Segaran berkata, berdasarkan pemerhatiannya, pengendali kren itu menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi berbanding walkie-talkie.
“Saya nampak mereka memberi isyarat dan seterusnya bum (kren itu) bergerak begitu pantas menyebabkan gondola itu terlanggar gopuram. Adakah keselamatan dikompromi? Adakah polis memberi amaran kepada DOSH selepas kejadian itu?” soalnya.
Beliau berkata, kerajaan perlu menubuhkan lembaga endowmen Hindu kebangsaan untuk mengawal peraturan berkaitan upacara ritual kuil supaya jawatankuasa kuil dapat mengelakkan kemalangan sedemikian.
Sementara itu, pemangku Ketua Pengarah DOSH, Anuar Embi berkata, siasatan penuh ke atas insiden itu sudah diarahkan.
Katanya, denda daripada RM50,000 hingga RM500,000 diperuntukkan dalam dua undang-undang yang mengawal penggunaan kren, iaitu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.
“Keselamatan pekerja perlu dipastikan dan orang ramai yang terdedah kepada aktiviti itu tidak patut menghadapi risiko. Kami akan menyiasat secara terperinci untuk melihat jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya kepada FMT.
Ahad lalu, seorang wanita berusia 53 tahun meninggal dunia selepas ditimpa serpihan patung batu yang jatuh dari menara Kuil Arulmigu Visalatchi Sametha Kasi Visvanathar selepas dilanggar kren.
Polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut.