
Penasihatnya, Jeffrey Ng, berkata dakwaan penutupan dua hari sebuah kilang pengeluar ayam di Jasin, Melaka, tidak mempunyai kaitan dengan tindakan protes berhubung subsidi.
Katanya, perkataan protes itu tidak sepatutnya timbul kerana hanya sebuah kilang pengeluar ayam yang ditutup di negeri ini dan selebihnya masih beroperasi seperti biasa.
“Kalau nak buat protes, kenapa pula kilang itu keluarkan notis atau surat pekeliling kepada orang ramai memaklumkan penutupan operasi selama dua hari?
“Dakwaan kononnya penutupan kilang itu adalah tindakan protes memang tidak betul, sebaliknya situasi itu amalan biasa yang dilakukan pihak pengurusan ladang untuk menyelesaikan isu ternakan atau tenaga kerja,” katanya menurut laporan Kosmo.
Hari ini, tular satu memo dikeluarkan sebuah ladang ternakan di Merlimau, Jasin, bertarikh 17 Mei kepada pembekal.
Dalam memo itu, pihak pengeluar memaklumkan bekalan ayam akan dihentikan pada 21 hingga 22 Mei ini atas alasan ayam-ayam hidup di ladang mengalami pertumbuhan yang lambat dan berat badan tidak mencapai kadar yang sepatutnya ditangkap.
Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan kerajaan termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, dalam menyelesaikan sebarang isu.
“Di bawah, FLFAM kita mempunyai 16 persatuan di seluruh negara dengan melibatkan kira-kira 2,400 pengusaha ayam.
“Untuk apa kami semua nak buat protes kerana ayam adalah barangan di bawah harga kawalan, kita sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan jika mempunyai sebarang masalah termasuklah isu kesulitan dalam melengkapkan dokumentasi pemberian subsidi,” katanya.