
Menurutnya, kakitangan tidak harus dipersalahkan kerana mereka juga tidak jelas dengan masalah yang timbul dan hanya menurut arahan pihak pengurusan syarikat penerbangan.
“Harap penumpang pesawat janganlah memaki hamun pekerja ini kerana ramai antara mereka telah kembali dari cuti hanya untuk membantu dalam operasi tersebut ketika ada krisis kelewatan berlaku,” katanyanya dalam kenyataan.
Nufam berkata, faktor kelewatan penerbangan bukan sahaja disebabkan kekurangan pesawat, tetapi masalah kakitangan tidak mencukupi juga antara puncanya.
Justeru, Nufam menyeru syarikat penerbangan mempertingkatkan proses pengambilan pekerja secepat mungkin dengan mengambil semula kakitangan yang telah diberhentikan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Kenapa hendak mempromosi pengambilan pekerja baharu sekarang dan buang masa untuk latihan semula? Berapa lamakah pekerja baharu ini pula akan dijadualkan dengan sepenuhnya?
“Nufam berpendapat dengan adanya pengambilan pekerja yang lama akan membantu operasi syarikat kembali kepada situasi yang asal. Jangan tunggu lagi,” katanya.
Nufam juga meminta syarikat penerbangan lebih telus dan jelas memaklumkan masalah kelewatan penerbangan kepada penumpang, serta memastikan kapasiti pengoperasian iaitu dari segi pesawat dan kakitangan mencukupi sebelum menerima tempahan.
“Jika semua pihak sudah pasti operasi kakitangan dan kapal pesawat mereka mencukupi, baharulah mulakan operasi dengan sepenuhnya.
“Kalau tidak sedia, janganlah ambil tempahan awal atau sewenang wenang membuat jadual operasi yang sebenarnya tidak mampu menampung penumpang ke destinasi mereka,” kata kesatuan itu lagi.