
Doktor pelatih berusia 25 tahun itu baharu tiga minggu menjalani latihan di hospital itu dan ditemui meninggal dunia di kediamannya di sini, pada 17 Apr lalu.
“Kes itu masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana kami masih belum dapat memastikan sebarang unsur jenayah yang memerlukan pengelasan semula,” kata Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis George Town di sini.
Kematian doktor pelatih itu mencetuskan spekulasi meluas bahawa dia mungkin menjadi mangsa penderaan tempat kerja. Bagaimanapun Jabatan Kesihatan Negeri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.
Soffian berkata, setakat ini, polis sudah merekodkan keterangan rakan sekerja terdekat, ibu bapa dan ahli keluarga mangsa.
Beliau berkata, siasatan sudah hampir selesai dan akan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya Pulau Pinang dalam masa terdekat.
“Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan siasatan secepat mungkin,” katanya.
Insiden itu kemudian menjurus kepada dakwaan wujudnya unsur pembulian membabitkan doktor pelatih yang berlaku di seluruh negara.
Kebanyakan mereka menggunakan media sosial tanpa mendedahkan identiti untuk mendakwa dibuli doktor senior termasuk isu tekanan mental dihadapi.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk meningkatkan budaya kerja dalam perkhidmatan kesihatan negara berikutan dakwaan buli dan tekanan mental oleh pekerja kesihatan.
Rabu lalu, seorang exco kerajaan negeri berkata, beliau telah menyerahkan nama lima doktor yang didakwa sebagai “pembuli” di hospital Pulau Pinang kepada Kementerian Kesihatan. Mereka didakwa “paling toksik”, kata Norlela Ariffin.