
Jurucakap pasukan, Minalochuni Pathmanathan berkata, mereka cuba mengumpul dana untuk bersaing pada kejohanan di sana.
Minalochuni ialah presiden Persatuan Okinawan Shorin-Ryu Sei-bu-kan Karate Do Antarabangsa Malaysia yang menguruskan pasukan itu.
Beliau berkata, bukan mudah untuk mengumpul dana bagi kumpulan itu pada masa lalu tetapi berharap prestasi mereka di Perancis akan membuka lebih banyak peluang.
“Kami merancang untuk menyertai kejohanan di AS pada 2-7 Julai dan satu lagi di Itali pada 3-6 Nov,” katanya kepada FMT.
“Bukan mudah untuk mengumpul dana bagi kejohanan ini tetapi kami memohon kepada kerajaan dan beberapa syarikat serta individu yang mungkin ingin membantu.”
Kumpulan itu tidak terkait dengan Persekutuan Karate Malaysia, iaitu badan induk sukan itu di Malaysia. Bagaimanapun kata Minalochuni, kumpulan itu berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan.
Pasukan itu pergi ke Paris atas kredit daripada agensi pelancongan tempatan dan menjadi tajuk berita utama selepas mengaut pingat – setiap ahli pasukan meraih sekurang-kurangnya satu pingat setiap orang.
Ini termasuk pingat emas pertama negara pada kejohanan global itu yang dimenangi Nivashini Sivaraman, 17, dalam Kategori Kata bagi kumpulan umur 15-17 tahun.

Minalochuni berkata, prestasi pasukannya menunjukkan mereka konsisten dan berharap mereka akan menerima lebih banyak dana dan tajaan.
Untuk menghadiri kejohanan Perancis itu, pasukan sembilan anggota itu hanya mampu mengumpul kira-kira RM18,000, tetapi memerlukan empat kali ganda jumlah itu.
Jurulatih pasukan, Shachiidanantha Pathmanathan berkata, mereka berharap dapat membuka dojo (pusat seni mempertahankan diri) sendiri. Pada masa ini, pasukan itu berlatih di gelanggang futsal atau balai raya berhampiran di Taman Sri Manja, Petaling Jaya. Ahli-ahli pasukan itu datang dari Puchong, Subang dan Kajang.
“Lebih selamat dan selesa untuk pelajar kami berlatih di dojo sendiri kerana ia akan mempunyai tikar empuk di atas lantai yang direka untuk menyerap impak jatuh,” katanya.
Ahli pasukan Mugeshvaran V Ganesh berkata, dengan memiliki dojo sendiri, mereka boleh melahirkan lebih ramai juara karate.
“Kami boleh melatih lebih ramai individu dan menyediakan program terperinci untuk mereka. Kami akan mempunyai tempat khusus untuk meluangkan smasa kami melahirkan lebih banyak juara akan datang,” katanya.
Paveedra Devi, seorang lagi ahli pasukan berkata, mereka sedang melihat-lihat lokasi yang berpotensi.
“Kami masih sedang pertimbangkannya tetapi harap-harap dalam sebulan atau dua ini kami akan buka dojo sendiri.”
Tambahnya, seluruh pasukannya bersyukur atas limpahan sokongan dan sumbangan yang diterima sejak mereka pulang dari Perancis.