
Mohammad Amirul Aznizam Razali, 28, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.
Tertuduh didakwa sebagai pemandu treler jenis Volvo telah memandu kenderaan itu di atas jalan raya dengan berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, Muhamad Nabil Haikal Muhamad Fariz, 19, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di KM245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, pada kira-kira 1 pagi, 12 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama iaitu penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan serta butiran sabitan diendors pada lesen memandu orang yang disabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad, mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan lesen digantung sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam G Ravishankar yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan tiga anak berusia dua hingga 14 tahun.
Shazmeer memerintahkan lesen tertuduh digantung dan membenarkan tertuduh diberikan jaminan berjumlah RM20,000 iaitu RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes.