Polis disaman guna telefon pintar ketika memandu

Polis disaman guna telefon pintar ketika memandu

Anggota polis itu dipanggil untuk siasatan dan saman dikeluarkan terhadapnya.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang anggota polis menggunakan telefon pintar ketika memandu.
PETALING JAYA:
Seorang anggota polis disaman kerana menggunakan alat komunikasi ketika memandu di Lebuhraya Persekutuan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian itu berlaku pada 9 pagi Ahad ketika anggota terbabit memandu kereta Proton Preve yang berlogo pasukan polis.

“Anggota polis terbabit sudah dipanggil untuk siasatan dan saman dikeluarkan terhadap pemandu berkenaan mengikut Kaedah 17(A) LN166/59.

“Kejadian berkenaan tidak membabitkan kemalangan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan anggota yang melakukan kesalahan ketika bertugas.

Semalam satu klip video 14 saat tular di media sosial menunjukkan seorang anggota polis menggunakan alat komunikasi (telefon pintar) ketika memandu.

Orang ramai meminta tindakan tegas sama seperti yang dikenakan terhadap orang awam diambil ke atas anggota polis itu kerana melanggar undang-undang jalan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.