Kurangkan kerugian Sapura, bukan ‘bailout’, kata Dr M

Kurangkan kerugian Sapura, bukan ‘bailout’, kata Dr M

Bekas perdana menteri berkata usaha perlu diambil bagi mengurangkan kerugian ditanggung penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu.

Dalam perniagaan ada masa kita untung dan ada masa rugi, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, tidak bersetuju langkah “bailout” digunakan demi menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SEB), sambil menyifatkan ada masanya perniagaan mengalami untung dan rugi.

Beliau yang juga ahli Parlimen Langkawi berkata, sebaliknya usaha perlu diambil bagi mengurangkan kerugian ditanggung penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu.

Katanya, Sapura mendapat pelaburan daripada banyak institusi milik rakyat dengan tujuan supaya mereka mendapat keuntungan daripada syarikat itu.

“Sapura telah berkembang dengan cepat tetapi kita tak tahu macam mana dia boleh jadi rugi begitu besar. Jadi pelabur-pelabur sekarang ini akan rugilah.

“Jadi, apabila rugi kita perlu cari jalan untuk kurangkan kerugian. Tapi bila orang gagal, kita bailout. Ini bukan perniagaan. Dalam perniagaan ada masa kita untung, ada masa kita rugi,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Mahathir berkata demikian ketika mengulas gesaan seorang lagi bekas perdana menteri, Najib Razak, agar kerajaan menyelamatkan Sapura kerana syarikat itu milik rakyat.

Pada Khamis, Najib memberi pandangan supaya Petronas mengambil alih Sapura bagi mengelak syarikat itu diisytihar muflis.

Katanya, cadangan itu antara syor digariskan sebagai langkah untuk menyelamatkan Sapura memandangkan Petronas memiliki kepakaran dengan satu lagi pilihan membabitkan pinjaman bank kepada syarikat itu yang dijamin kerajaan.

Najib memberi cadangan itu pada debat perdana antaranya dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.