
Shahril berkata, Mahathir pada 1987, memperkenalkan sistem 10 undi bonus bagi setiap pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.
Katanya, pada 1998, Mahathir yang ketika itu masih presiden Umno memperkenalkan pula sistem kuota bagi pencalonan jawatan tertinggi.
“Saya tak merasakan Umno perlu menjustifikasi tindakan dalaman kepada parti saingan tetapi disebabkan yang bersuara kali ini juga bekas presiden Umno, mungkin ada baiknya saya ingatkan.
“Ini bukan kali pertama pindaan perlembagaan Umno telah dilakukan. Semenjak 1987 hingga kini, pindaan perlembagaan telah dilakukan tiga kali,” katanya dalam di Facebook.
Shahril juga mempersoalkan maksud Mahathir apabila merujuk Umno tidak menghormati perlembagaan parti sendiri selepas bertindak memindanya.
“Adakah bermaksud kepimpinan waktu itu tak hormat perlembagaan parti? Kali pertama Tun Mahathir menjadi perdana menteri, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda 23 kali termasuk tahun 1988 di mana terjadinya krisis Perlembagaan.
“Kali kedua Tun menjadi perdana menteri, Perlembagaan Persekutuan dipinda satu kali. Adakah ini juga bermaksud tak hormat perlembagaan negara sendiri? Sudah tentu jawapan kepada semua diatas: tidak,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahril berkata, perlembagaan sesebuah organisasi boleh dipinda mengikut kesesuaian sesuatu waktu dan akan dipinda dari semasa ke semasa selagi tidak lari daripada semangat dan roh perjuangan parti tersebut.
“Lebih baik pinda perlembagaan parti berbanding berpindah parti berkali-kali,” katanya.
Terdahulu, Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi mengulas usul pindaan perlembagaan Umno untuk menangguh pemilihan parti, semalam, bagi membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih dari enam bulan selepas pilihan raya umum.
Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan bahawa pindaan perlembagaan itu dilakukan bagi menyelamatkan kedudukannya sebagai presiden.
Katanya, cadangan pindaan perlembagaan parti itu datang daripada suara akar umbi.
Sementara itu, dalam maklum balas segera Timbalan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata Shahril gagal memahami apa yang cuba disampaikan Mahathir.
“Ya, memang sebelum ini ada pindaan dibuat…tapi apakah objektifnya? Untuk kekal berkuasa bagi segelintir individu?
“Dan lebih penting, pindaan dibuat Umno demi membenarkan presidennya yang berdepan tuduhan (di mahkamah) kekal menerajui Umno,” katanya.