Ambil maklum aduan, tapi pemilihan PKR tetap diteruskan, kata JPP

Ambil maklum aduan, tapi pemilihan PKR tetap diteruskan, kata JPP

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) tetap mengambil maklum aduan yang dibuat oleh Rafizi Ramli kata Pengerusinya Zaliha Mustafa.

Pengerusi JPP Zaliha Mustafa mengakui terdapat isu pada hari pertama pemilihan di Kelantan dan Terengganu, namun cara pengendalian pemilihan ditambah baik pada hari berikutnya di Kedah dan Johor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) tetap meneruskan pemilihan walaupun terdapat gesaan daripada calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli yang meminta badan itu mempertimbang menangguhkannya sehingga sistem pengundian diuji sepenuhnya.

Pengerusinya Zaliha Mustafa mengakui terdapat isu pada hari pertama pemilihan di Kelantan dan Terengganu, bagaimanapun pihaknya telah menambah baik cara pengendalian pemilihan pada hari berikutnya iaitu di Kedah dan Johor.

“Bagi saya apapun sistem yang dibina, bukan 100% tiada risiko. Maksudnya sistem tak ada masalah besar yang menyebabkan kita terpaksa tunda. Keputusan untuk meneruskan tu, kita teruskan,” katanya kepada FMT.

Semalam Rafizi menggesa JPP mempertimbangkan penangguhan pemilihan secara fizikal bagi mengelak pembatalan, penangguhan dan kekecohan yang menyusahkan anggota biasa.

Gesaan Rafizi itu mendapat tentangan daripada calon naib presiden Fahmi Fadzil, yang menyifatkan proses sudah “separuh jalan”, manakala Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak juga tidak bersetuju kerana ia melibatkan persediaan, kos dan orang ramai.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata pihaknya tidak mengambil ringan, malah akan melihat dengan teliti aduan Rafizi berhubung perkara itu.

Hari pertama pemilihan PKR 13 Mei lalu menyaksikan lima daripada 14 bahagian di Kelantan iaitu Bachok, Gua Musang, Tumpat, Pengkalan Chepa dan Ketereh terpaksa menangguhkan pengundian disebabkan masalah teknikal.

Ditanya bila pemilihan semula akan dibuat, Zaliha berkata pihaknya sedang meneliti tarikh sesuai sebelum Kongres PKR yang bermula 24 Jun ini.

Sementara itu, Zaliha berkata pemilihan yang masuk hari keempat hari ini melibatkan Perlis, Pulau Pinang, Negeri dan Melaka, berjalan lancar.

Bagaimanapun, berlaku kekecohan di Port Dickson, Negeri Sembilan, susulan dakwaan berlaku penipuan dan direncatkan dengan protes yang dilakukan kumpulan mendakwa bukan kumpulan “MB” sehingga pemilihan dihentikan seketika.

Menurut laporan media, penyokong seorang daripada calon berkata, mereka tidak berpuas hati dengan cara pengundian yang condong kepada calon yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Mengulas perkara itu Zaliha berkata pihaknya akan membuat siasatan lanjut terhadap dakwaan yang dibuat oleh pemilih tersebut.

“Ada laporan (pegawai JPP) nyatakan dilanjutkan waktu mengundi kerana sebelum tu berlaku salah faham. Jadi bila dah tenang diteruskan kembali kerana ada dakwaan-dakwaan, jadi kita kena jawab.

“Contoh saya dengar tadi, ada pengawas pembantu menekan tablet, mungkin dia bantu dengan borang 10. Kita akan buat siasatan,” katanya.

Selain itu di Tangga Batu Melaka, Zaliha berkata JPP telah mengarahkan Pusat Khidmat Parlimen ditutup kerana lokasi pemilihan dibuat berdekatan dengan premis tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.