Dewan Rakyat kecoh selepas Shahidan cadang tutup Parlimen

Dewan Rakyat kecoh selepas Shahidan cadang tutup Parlimen

Ahli Parlimen Arau itu mendakwa Parlimen Malaysia gagal menjadi institusi perundangan yang bebas, berwibawa dan bertaraf dunia.

RSN Rayer berkata kenyataan Arau Shahidan Kassim umpama menjatuhkan kedudukan Parlimen sebagai institusi bertaraf dunia dirasmikan Yang di-Pertuan Agong.
KUALA LUMPUR:
Persidangan Dewan Rakyat sedikit kecoh selepas seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan supaya Parlimen ditutup kerana didakwa tidak bebas dan berwibawa.

Kekecohan bermula apabila Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata Parlimen seharusnya menjadi institusi perundangan yang bebas, berwibawa dan bertaraf dunia tetapi di Malaysia ia gagal.

“Tak dunia pun, dekat Malaysia pun gagal. Maka saya menyokong supaya perkhidmatan Parlimen ini ditutup semula,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.

Bagaimanapun, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(4) dan berkata dakwaan Shahidan itu biadab dan kurang sopan.

Rayer berkata, sebarang rasa tidak puas hati boleh dibahas dengan fakta tetapi bukannya menjatuhkan kedudukan Parlimen sebagai institusi bertaraf dunia yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Shahidan kemudian membalas kenyataan Rayer dengan berkata: “Kamu jangan menyibuk”.

“Di luar negara saya pertahan, tapi dalam negara saya sebut bahawa kita mesti berlaku adil. Ini bukan dasar apartheid tetapi kerajaan perpaduan Madani,” kata Shahidan.

Timbalan Speaker Alice Lau kemudiannya mencelah untuk menghentikan kekecohan dan meminta Rayer menghantar usul yang dibangkitkan tadi.

Pada 2021, Parlimen pernah ditutup ketika pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berikutan penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Rayer ketika dihubungi FMT berkata beliau akan menghantar usul merujuk Shahidan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.