Umno sebulat suara lulus pindaan perlembagaan, kata Najib

Umno sebulat suara lulus pindaan perlembagaan, kata Najib

Penasihat Barisan Nasional (BN) itu berkata, pindaan yang dibuat itu bagi membolehkan pemilihan parti diadakan 6 bulan selepas PRU15.

Ketetapan itu sudah jadi satu ketetapan dalam perlembagaan Umno dan bererti PRU akan diadakan lebih dahulu, baru pemilihan Umno, kata penasihat Barisan Nasional (BN), Najib Razak.
KUALA LUMPUR:
Umno hari ini sebulat suara menyokong untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan pemilihan parti itu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU), kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib yang juga penasihat Barisan Nasional (BN) mengesahkan perkara itu ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Agung Khas Umno di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

“Hari ini kita sudah pinda perlembagaan tadi dimana ia telah diluluskan secara sebulat suara.

“Bermakna ketetapan itu sudah jadi satu ketetapan dalam perlembagaan Umno dan bererti PRU akan diadakan lebih dahulu, baru pemilihan Umno,” katanya.

Cadangan pindaan itu mendapat sokongan sebulat suara membabitkan kira-kira 2,58O perwakilan seluruh negara yang hadir bersidang bagi Perhimpunan Agung Umno Khas (EGM), di Kuala Lumpur, petang ini.

Usul berkenaan dicadangkan Naib Presiden Umno Mohamad Khaled Nordin yang kemudiannya disokong oleh Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno.

Pindaan Perlembagaan tersebut melibatkan 3 Fasal iaitu Fasal 10.16, 15.3 dan 18.2 yang kesemuanya melibatkan penangguhan pemilihan di semua peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bahagian dan cawangan.

Pindaan ini memberi kuasa kepada MKT Umno untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, bahagian dan cawangan tidak lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan atau tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang mana terkemudian.

Tarikh Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 adalah seperti yang dinyatakan dalam writ yang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau mana-mana undang-undang yang terpakai bagi tujuan yang sama.

Pemuda dan Puteri Umno sebelum ini menggesa supaya perlembagaan parti dipinda bagi membolehkan pemilihan diadakan selepas pilihan raya umum.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia penting bagi memastikan kesepaduan parti bagi menghadapi PRU tidak dirosakkan oleh gelombang pemilihan parti.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.