Syarikat pilih fleksibiliti, ruang kerja bersama dapat permintaan

Syarikat pilih fleksibiliti, ruang kerja bersama dapat permintaan

Dengan ruang kerja bersama, syarikat dapat menikmati faedah dan kemudahan ruang fizikal tanpa beban perbelanjaan modal yang besar, kata Pengarah Co-labs Coworking Benjamin Teo.

Wabak telah melahirkan trend pasaran baharu yang kemungkinan besar dapat dimanfaatkan oleh pengendali ruang kerja bersama.
PETALING JAYA:
Pengendali ruang kerja bersama meramalkan perniagaan yang pesat apabila lebih banyak syarikat mempertimbangkan ruang kerja yang fleksibel berikutan wabak Covid-19.

“Permintaan untuk ruang pejabat dan acara melonjak,” kata Pengarah Eksekutif Colony Timothy Tiah kepada FMT.

“Setakat suku pertama, (pendapatan) kami telah pulih seperti sebelum wabak, dan pada suku kedua, kami berada di landasan yang tepat untuk menandinginya,” katanya.

Tiah berkata, pertanyaan meningkat sebanyak 144% pada suku pertama 2022, sambil menambah, wabak telah melahirkan trend pasaran baharu yang kemungkinan besar dapat dimanfaatkan oleh pengendali ruang kerja bersama.

“Kami mengiktiraf pasaran untuk ruang pejabat mampu milik yang boleh dibatalkan dengan notis sebulan,” katanya, merujuk kepada keadaan kerja yang tidak menentu berikutan sekatan berpanjangan dan lebih ramai orang bekerja dari rumah.

“Di tengah-tengah semua ketidaktentuan itu, pelanggan mahukan kontrak pejabat yang lebih fleksibel dengan kebebasan untuk memilih syarat mereka sendiri dan bertindak balas terhadap permintaan ekonomi pada bila-bila masa.”

Beliau berkata, kebanyakan pelanggannya adalah syarikat multinasional dengan ibu pejabat di luar negara yang lebih gemar menyewa ruang kerja bersama berbanding memperoleh keseluruhan bangunan pejabat.

Pengarah Co-labs Coworking Benjamin Teo berkata, walaupun permintaan rendah semasa wabak menjejaskan sektor komersial dan pajakan pejabat, mereka masih mampu mengekalkan sewaan yang memenuhi keperluan pelanggan yang lebih suka fleksibiliti.

Beliau berkata, mereka terus menerima pertanyaan dan tempahan untuk pejabat jarak jauh sementara, ruang kerja untuk tenaga kerja hibrid, serta ruang pejabat yang fleksibel dan mampu milik.

“Kami juga melihat kadar pembaharuan sewaan yang sihat untuk 2021 dan 2022, dengan purata 80% untuk kedua-dua tahun ini,” katanya kepada FMT.

Teo berkata, syarikat mula menyedari kepentingan ruang kerja bersama kerana ia membolehkan mereka menikmati faedah dan kemudahan ruang fizikal, tanpa beban perbelanjaan modal yang besar.

Beliau berkata, perniagaan semakin pesat dengan lebih banyak syarikat mengguna pakai model kerja hibrid untuk mengurangkan kos operasi.

“Model ini menawarkan kedua-dua fleksibiliti dan keselamatan,” katanya.

Pengasas Triune Center Gabriel Ng bersetuju bahawa pemulihan berjalan lancar, dengan pendapatan hampir mencapai tahap sebelum wabak.

“Walaupun perniagaan masih belum pulih sepenuhnya, ia mempunyai prospek yang baik, pada 80% daripada pendapatan sebelumnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.