‘Mana wakil petugas, NGO kesihatan dalam pasukan petugas khas’,? soal persatuan kesihatan

‘Mana wakil petugas, NGO kesihatan dalam pasukan petugas khas’,? soal persatuan kesihatan

Persatuan kesihatan bimbang jika ketiadaan wakil barisan kesihatan menyebabkan usaha mencari penyelesaian akan menjadi lebih sukar.

HWCITF ditubuhkan merangkumi aspek budaya kerja serta pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan untuk memastikan penyampaian mutu perkhidmatan berkualiti serta professional.
PETALING JAYA:
Persatuan kesihatan menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan atau Healthcare Work Culture Improvement Task Force (HWCITF).

Menerusi kenyataan bersama, kumpulan itu bagaimanapun meluahkan kebimbangan berikutan ketiadaan wakil barisan petugas kesihatan di lapangan sendiri, mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan yang mewakili warga kesihatan dalam pasukan khas itu.

“Penubuhan pasukan petugas khas ini dialu-alukan sebagai sebahagian dari usaha memperbaiki persekitaran pekerjaan yang lebih baik buat semua warga kesihatan di sektor kerajaan.

“Keahlian pasukan petugas khas ini dilihat terdiri daripada individu berkaliber dalam bidang masing-masing namun, kami gusar dengan ketiadaan wakil dari petugas kesihatan mahupun (NGO) kesihatan. Kami harap ia tidak menidakkan suara doktor yang saban hari bertungkus lumus di wad serta klinik,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan bersama itu dibuat antara MMA SCHOMOS, Hartal Doktor Kontrak, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Malaysian Medics International, dan MMA Junior Doctors Network (JDN).

Kumpulan itu juga berkata, mereka mendapat maklum balas, aduan serta saranan daripada wakil setiap kelompok warga kesihatan, termasuk pegawai perubatan siswazah hinggalah pakar perubatan berhubung isu buli dan salah laku dalam kalangan warga KKM.

“Dapatan yang penting ini telah pun kami majukan kepada pihak KKM seperti yang diminta sebelum ini, dan kami sentiasa bersedia untuk memberi maklum balas lanjut berkenaan isu ini.

“Sekiranya wakil persatuan yang membawa suara mereka yang di lapangan ini tidak diendahkan, maka sebarang usaha untuk mencari penyelesaian akan menjadi lebih sukar,” kata mereka lagi.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan KKM menubuhkan pasukan petugas khas bebas yang dinamakan HWCITF.

Katanya, bidang tugas pasukan itu akan merangkumi aspek budaya kerja serta pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan untuk memastikan penyampaian mutu perkhidmatan berkualiti serta professional.

Beliau berkata, penubuhan pasukan itu susulan insiden melibatkan kematian seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang (HPP) serta laporan dan aduan yang diterima berkaitan kejadian buli selain masalah tekanan mental yang dihadapi, bukan sahaja oleh PPS, malah kakitangan perkhidmatan kesihatan semasa melaksanakan perkhidmatan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.