
Beliau berkata, kejayaan dana kekayaan berdaulat Norway yang diiktiraf secara meluas diuruskan menerusi standard tadbir urus tertinggi sejak penubuhannya pada 1996, justeru menjadi standard yang perlu ditanda aras oleh Sarawak.
“Memandangkan banyak persamaan antara Sarawak dan Norway, Sarawak berminat khususnya dalam aspek yang dapat dipelajari daripada Norway, memandangkan ia mempunyai pengalaman kira-kira 25 tahun dalam membangunkan dana itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan dari Oslo, Norway hari ini.
Beliau kini dalam rangka lawatan dua hari ke Norway sebagai sebahagian daripada jadual lawatan seminggu ke Eropah yang menyaksikan beliau diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 di Rotterdam, Belanda Isnin lepas.
Ketika bertemu pegawai pengurusan pelaburan Norges Bank yang dilantik untuk mengurus dana kekayaan Norway, Abang Johari dimaklumkan bahawa dana yang dipanggil “The Government Pension Fund Global” itu menerima suntikan pertama daripada lebihan hasil sektor petroleum sebanyak dua bilion krone daripada kerajaan Norway pada 1996.
“Pada 2021, ia melaporkan nilai keseluruhan USD1.34 trilion dengan semua pelaburan dalam ekuiti dan hartanah di luar negara,” katanya.
Abang Johari berkata, kerajaan negeri menanda aras banyak dana serupa di seluruh dunia dan mendapati dana Norway adalah yang terbesar dengan amalan tadbir urus yang baik dan dasar yang jelas dalam pengurusan dana.
Katanya, Norway dan Sarawak, yang kedua-duanya memiliki geografi luas dan berpenduduk jarang serta dilimpahkan dengan sumber asli yang banyak, terutamanya minyak dan gas serta kuasa hidro, berkongsi banyak sifat yang sama.
“Sebagai wilayah konstituen terbesar Malaysia Sarawak adalah kira-kira satu pertiga saiz Norway, dengan kira-kira separuh penduduk.
“Kita juga berkongsi hasrat yang sama untuk bergerak ke arah pembangunan mampan, memelihara dunia untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau mengakui Norway sedang menerajui Eropah dalam peralihan tenaga dengan hampir semua tenaga elektriknya dijana daripada sumber boleh baharu dan menjadi salah satu negara dengan perkadaran kenderaan elektrik tertinggi di dunia.
Justeru, Sarawak menyasarkan untuk menjadi wilayah utama peralihan tenaga di Malaysia, iaitu beralih daripada pergantungan kepada bahan api fosil, dengan negeri itu menjadi pengeluar minyak dan gas penting sejak 1910, katanya.
Bagaimanapun hanya baru-baru ini Sarawak mencatatkan peningkatan ketara dari segi hasil minyak dan gas dan mengambil kira peralihan tenaga ke arah bahan api hijau, kenaikan ini dijangka bertahan sehingga satu generasi atau sekitar 25 tahun.
“Oleh itu saya percaya, sejajar dengan hasrat kita untuk membangunkan strategi kemampanan pelbagai generasi untuk Sarawak, kita tidak seharusnya menggunakan semua hasil yang meningkat itu sekarang, sebaliknya mengetepikan sebahagiannya untuk manfaat generasi akan datang dalam bentuk dana berdaulat,” katanya.