Kru kapal layar ditemui lemas

Kru kapal layar ditemui lemas

Mangsa yang berusia 23 tahun itu dilaporkan hilang selepas terjatuh daripada sebuah bot di perairan Kuah, Langkawi, petang Rabu.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung oleh orang awam kira-kira 1.5 batu nautika dari lokasi kejadian pada 7.20 pagi tadi.
PETALING JAYA:
Kru kapal layar yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari sebuah bot di perairan Kuah, Langkawi, pada Rabu ditemui lemas pagi tadi.

Mayat Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 23, ditemui dalam keadaan terapung oleh orang awam kira-kira 1.5 batu nautika dari lokasi kejadian pada 7.20 pagi, menurut Ketua Polis Langkawi Shariman Ashari.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama pasukan polis marin sudah diarah ke titik koordinat bagi proses pengambilan mayat dan dibawa ke Jeti Marble di sini.

“Pengecaman mayat dilakukan oleh bapa, ibu dan kakak mangsa, sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat,” katanya hari ini, menurut laporan Berita Harian.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan Pangkalan Hadapan Carilamat ditutup pada 9 pagi tadi.

Media sebelum ini melaporkan mangsa, yang berasal dari Alor Setar dan bekerja sebagai kru kapal Sunset Dinner Cruise, dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari sebuah bot.

Mangsa dipercayai terlewat hadir bertugas pada hari kejadian dan kapal layar yang sepatutnya dinaiki berlepas pada 4.30 petang.

Dia kemudiannya cuba mengejar kapal layar itu dengan menggunakan sebuah bot kecil, namun pada kira-kira 5 petang, nelayan menemui botnya kosong di laut.

Mereka turut menemui sepasang selipar dan satu topi terapung berhampiran bot kecil itu sebelum mendapatkan pertolongan rakan dan menghubungi polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.