Jawatankuasa bebas diberi 2 bulan siasat kes buli doktor pelatih, kata Khairy

Jawatankuasa bebas diberi 2 bulan siasat kes buli doktor pelatih, kata Khairy

Menteri kesihatan berkata, anggota jawatankuasa itu akan diumumkan petang ini dan mereka akan mengesyorkan cara untuk memperbaiki budaya kerja KKM.

Khairy Jamaluddin mendengar pengalaman doktor pelatih di Hospital Selayang pagi tadi. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jawatankuasa petugas bebas diberi tempoh dua bulan untuk menyiasat kes buli doktor pelatih.

“Petang nanti saya umumkan anggota pasukan petugas bebas yang diberi masa dua bulan untuk siasat budaya kerja di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dan isu buli dan membuat syor untuk memperbaiki keadaan ‘work culture’ KKM,” katanya menerusi Twitter.

Minggu lalu, Khairy dilaporkan berkata, sebuah pasukan bertindak bebas akan ditubuhkan untuk menyiasat kematian seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang (HPP) bulan lalu dan dakwaan budaya buli terhadap doktor pelatih di hospital awam.

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai perubatan siswazah yang ditempatkan di HPP pada 4 April lalu, dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri yang disewanya di Jalan Datuk Keramat, George Town pada 17 April lalu.

Susulan itu, muncul pelbagai laporan media memetik doktor pelatih dan doktor lain yang tidak dinamakan mendakwa mereka dibuli serta dihina oleh doktor senior dan doktor pakar dalam tempoh latihan dua tahun.

Dalam pada itu, Khairy berkata, budaya kerja toksik tidak sepatutnya berlaku di hospital kerajaan.

“Saya tidak mahu budaya kerja yang toksik di hospital KKM. Zaman dahulu dan zaman sekarang lain.

“‘Work environment’ mesti ada ‘respect, support & empowering’. Bukan ‘abusive & humiliating’.”

Beliau turut memuat naik beberapa gambar pertemuannya dengan doktor pelatih di Hospital Selayang sebelum mereka memulakan “rounds” pada 6 pagi tadi.

Katanya, banyak perkara yang diluahkan oleh doktor pelatih terbabit.

“Ada jabatan yang mempunyai persekitaran pekerjaan yang bagus. Ada pula yang boleh diperbaiki.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.