Pelanggan perlu jalani ujian RTK-Ag sebelum masuk pub, kelab malam

Pelanggan perlu jalani ujian RTK-Ag sebelum masuk pub, kelab malam

RTK-Ag perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam sebelum memasuki premis atau pemilik premis akan menjalankan ujian terhadap pengunjung sebelum dibenar masuk.

Bermula 15 Mei, pelanggan pub dan kelab malam berlesen perlu menjalani ujian pantas antigen (RTK-Ag) Covid-19 sebelum memasuki premis.
PUTRAJAYA:
Pelanggan pub dan kelab malam berlesen perlu menjalani ujian pantas antigen (RTK-Ag) Covid-19 kendiri dalam tempoh 24 jam, sebelum memasuki premis, bermula 15 Mei.

Jika pelanggan tidak menjalani ujian berkenaan, pihak premis boleh menjalankan ujian RTK-Ag kendiri ke atas pelanggan dan perlu memastikan keputusan ujian Covid-19 pelanggan adalah terkini dan berstatus negatif.

Ia antara garis panduan disenaraikan bawah Protokol Operasi Pub dan Kelab Malam Berlesen berkuat kuasa, Sabtu ini, yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

KPKT dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan protokol berkenaan telah dimuat naik di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, sebelum ini dilaporkan berkata senarai negatif di bawah SOP MKN akan digugurkan, mulai 15 Mei dan kelab malam merupakan satu-satunya perniagaan bawah senarai negatif yang dihentikan operasinya sejak permulaan pandemik pada Mac 2020.

Menurut KPKT, protokol pengoperasian pub dan kelab malam berlesen dikeluarkan sebagai rujukan kepada semua pemain industri berkaitan setelah mendapat pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Protokol tersebut mengambil kira faktor risiko penularan jangkitan Covid-19 yang tinggi di pub dan kelab malam memandangkan premis berkenaan adalah ruang tertutup dengan ventilasi yang tidak mencukupi, penjarakan fizikal yang sukar dipatuhi dan tidak dapat mengamalkan pemakaian pelitup muka sepenuhnya.

Mengikut protokol itu, pelanggan perlu sentiasa memakai pelitup muka semasa berada dalam premis kecuali semasa aktiviti makan, minum dan menari.

Kapasiti premis yang dibenarkan adalah 100% termasuk ruang tari, manakala waktu operasi adalah mengikut syarat lesen dan permit pihak berkuasa tempatan.

“KPKT menyeru semua pemain industri pub dan kelab malam berlesen dapat mematuhi perkara penting yang telah digariskan dalam protokol tersebut bagi mengekang penularan kes positif Covid-19 dalam fasa transisi ke fasa endemik ini,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.