
Kejadian membabitkan mangsa lelaki dikenali sebagai Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 23, yang berasal dari Alor Setar dan bekerja sebagai kru Sunset Dinner Cruise.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi Shariman Ashari, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 6.15 petang.
Shariman berkata, berdasarkan siasatan awal dan temu bual dengan rakan sekerja mangsa mendapati dia dipercayai terlewat hadir bertugas dan kapal layar yang sepatutnya dinaiki berlepas pada 4.30 petang.
“Ia menyebabkan lelaki terbabit cuba mengejar kapal layar itu dengan menggunakan bot kecil. Kira-kira jam 5 petang, sebuah bot pemancing yang pulang dari Pulau Bumbun menghala ke Yacht Club telah menemui bot kecil kosong di laut.
“Hanya sepasang selipar serta satu topi terapung dilihat ketika mereka berhampiran bot kecil berkenaan. Mereka kemudiannya mendapatkan pertolongan rakan dan menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 8.50 malam tadi dan akan disambung hari ini.
“Operasi mencari dan menyelamat ini dijalankan oleh pasukan polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), bomba dan APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia),” katanya.