
Menerusi kenyataan di Facebook, Suhakam berkata, siasatan itu adalah susulan satu kes kematian melibatkan seorang pegawai perubatan siswazah yang bertugas di Hospital Pulau Pinang, pada 17 Apr.
“Suhakam menjemput orang awam atau mana-mana individu untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan isu ini bagi membantu siasatan Suhakam,” menurut kenyataan.
Maklumat boleh dimajukan kepada Abdul Rahman Abdullah (012-2392307/ [email protected]) atau Faiz Abdul Rahman (012-8136079/ [email protected]).
Pada 17 Apr, seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang dipercayai terjatuh dari pangsapurinya hanya tiga minggu selepas dihantar bertugas ke hospital berkenaan. Pada Dis 2020, seorang lagi doktor pelatih yang keluar dari hospital itu juga dilaporkan meninggal dunia.
Bercakap kepada FMT, bekas doktor pelatih dan yang masih berkhidmat di Hospital Pulau Pinang mendakwa mereka terlalu banyak bekerja, didera dan dibuli oleh doktor senior dan juga jururawat.
Malah ada yang mendakwa mereka juga berdepan penghinaan bersifat perkauman yang dilemparkan oleh pihak atasan.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pasukan petugas bebas akan dibentuk untuk menyiasat kematian doktor pelatih itu dan budaya buli seperti yang didakwa oleh doktor pelatih dan doktor senior.