
Ketua Polis Marang, Mohd Zain Mat Dris berkata, dalam kejadian 8.34 pagi, Aman Basri Muhd Rohaizi, 16, dikatakan terjatuh ketika sedang berlari lalu pengsan.
“Berdasarkan temu bual bersama beberapa saksi pelajar sekolah sama, mereka cuba memberi bantuan pernafasan namun keadaan mangsa semakin lemah.
“Guru yang bertugas telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan untuk menerima rawatan namun doktor memaklumkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, terdapat luka di bahagian atas kening sebelah kanan, calar di bawah dagu sebelah kiri dan calar di belakang tangan sebelah kiri yang dipercayai berlaku semasa mangsa terjatuh.
“Bapa mangsa membuat laporan polis dan menolak proses bedah siasat dilakukan kerana berpuas hati atas sebab kematian. Beliau juga menyatakan tidak akan mengambil sebarang tindakan sekiranya terjadi perkara berbangkit pada masa akan datang,” katanya.
Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.