Masalah brek disyaki punca tren LRT terkandas di stesen Taman Jaya

Masalah brek disyaki punca tren LRT terkandas di stesen Taman Jaya

Rapid Rail Sdn Bhd berkata hasil penilaian awal kerosakan yang dilakukan pasukan jurutera terlatih terhadap sistem brek mendapati cecair hidraulik bocor.

Pengguna bersesak di stesen Pasar Seni akibat tren terkandas di Stesen LRT Taman Jaya laluan Kelana Jaya pagi tadi.
PETALING JAYA:
Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan kejadian perkhidmatan tren terkandas di Stesen LRT Taman Jaya laluan Kelana Jaya berkemungkinan disebabkan masalah pada sistem brek.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan, berkata hasil penilaian awal kerosakan yang dilakukan pasukan jurutera terlatih terhadap sistem brek mendapati cecair hidraulik bocor.

“Pasukan jurutera terlatih yang tiba di lokasi telah melakukan penilaian awal kerosakan dan usaha telah dilakukan untuk pembaikan. Namun setelah penilaian dilakukan terhadap sistem brek, didapati terdapat cecair hidraulik yang bocor.

“Pasukan kedua daripada Jabatan Kejuruteraan dikejarkan ke tempat kejadian dengan membawa peralatan khas dari depoh dan landasan terpaksa ditutup kerana proses pembaikan perlu dilakukan di bawah tren,” katanya dalam kenyataan.

Pihak Rapid Rail Sdn Bhd turut memohon maaf kepada semua pengguna yang mengalami kelewatan dan kesulitan menuju destinasi khususnya ke tempat kerja akibat kejadian jam 8.16 pagi itu.

“Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kerosakan tren. Ini bagi memastikan kejadian seumpama ini dapat dielakkan di masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, rekod penyelenggaraan menunjukkan tren itu telah menjalani beberapa siri pemeriksaan berjadual dengan kali terakhir pada 28 April 2022, dan disahkan selamat untuk beroperasi.

Katanya, perkhidmatan pulih sepenuhnya pada jam 1.26 petang setelah kerja mengalihkan tren yang terkandas itu selesai.

“Mereka yang terlibat dengan insiden ini boleh mendapatkan kupon perjalanan sehala yang perlu ditebus dalam masa lima hari dari hari ini. Pengguna yang belum menuntut kupon ini boleh hadir ke mana-mana kaunter LRT Rapid KL bagi mendapatkan kupon tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.