Long Covid: 2,798 pesakit dirawat di pusat rawatan KKM seluruh negara

Long Covid: 2,798 pesakit dirawat di pusat rawatan KKM seluruh negara

Menteri kesihatan berkata seramai 6,432 pesakit menjalani rawatan sebagai pesakit luar akibat 'long Covid'.

Khairy Jamaluddin berkata, gejala ‘long Covid’ sekiranya tidak diberi rawatan khusus dan berstruktur boleh berterusan sehingga menjejaskan kualiti hidup. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kadar prevalen dalam negara bagi individu yang mengalami gejala komplikasi atau sindrom Covid berpanjangan atau “long Covid” setelah sembuh daripada jangkitan Covid-19 Kategori 4 dan 5 adalah 65.1% dengan 61.2% daripadanya mengalami lebih daripada dua gejala.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, antara gejala “long Covid” yang kerap dialami dan boleh menyebabkan impak ke atas kefungsian serta aktiviti harian individu yang terkesan ialah kelesuan, kesukaran bernafas, batuk, kesakitan sendi dan otot, kesukaran tidur nyenyak, kelemahan anggota, masalah deria, kegelisahan, kekabutan otak dan lesi kulit.

Katanya, sehingga April 2022 seramai 2,798 pesakit telah menjalani rawatan perubatan rehabilitasi “long Covid” melalui rawatan pesakit dalam dan 6,432 pesakit menjalani rawatan perubatan rehabilitasi melalui rawatan pesakit luar di fasiliti KKM di seluruh negara.

“Sebanyak 30% hingga 40% pesakit ‘long Covid’ dapat kembali bekerja dalam tempoh tiga bulan selepas dijangkiti Covid-19, manakala 60% hingga 70% kembali bekerja dalam tempoh enam bulan selepas dijangkiti,” katanya dalam kenyataan.

Khairy berkata, gejala “long Covid” sekiranya tidak diberi rawatan khusus dan berstruktur boleh berterusan sehingga menjejaskan kualiti hidup.

“Keadaan ini juga boleh menyebabkan implikasi seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, hilang punca pendapatan yang akhirnya akan menyebabkan bebanan sosioekonomi bukan sahaja kepada individu tersebut, malah keluarga, masyarakat serta ekonomi negara.

“Justeru bagi menangani gejala ‘long Covid’ dengan berkesan dan selamat, KKM telah menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Pasca Covid-19 Kebangsaan pada Julai 2021 sebagai sumber rujukan dan melibatkan pelbagai disiplin kepakaran termasuklah kesihatan primer, penyakit berjangkit, perubatan dalaman, nefrologi, kardiologi, respiratori, obstetrik, pediatrik, psikiatri dan perubatan rehabilitasi,” katanya.

Katanya, perubatan rehabilitasi merupakan kepakaran perubatan yang memberikan fokus kepada peningkatan kefungsian individu melalui diagnosis, rawatan kesihatan, mengurangkan kehilangan upaya serta pencegahan komplikasi.

Beliau berkata, program rehabilitasi komprehensif serta holistik melibatkan kepakaran interdisiplinari yang terdiri daripada pakar rehabilitasi, pegawai perubatan, anggota pemulihan fisioterapi, anggota pemulihan cara kerja dan jururawat.

“Bergantung kepada keperluan spesifik pesakit, pegawai pemulihan pertuturan dan penelanan, kaunselor, pegawai dietetik, pegawai farmasi dan pegawai kebajikan sosial perubatan juga boleh dilibatkan bersama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.