Tuduhan liar, kata Rauf berkait dakwaan paksa Sulaiman letak jawatan

Tuduhan liar, kata Rauf berkait dakwaan paksa Sulaiman letak jawatan

Ketua Umno Melaka menjelaskan tindakan itu bertujuan memecahbelahkan Umno negeri yang bersedia menghadapi PRU15.

Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusof (kiri) adalah exco kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali.
PETALING JAYA:
Ketua Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh menjelaskan tiada dalam pengetahuan beliau sama ada secara langsung atau tidak yang memaksa Sulaiman Md Ali menandatangani dokumen untuk meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka.

Katanya, dakwaan dibuat sesetengah pihak itu adalah tuduhan liar, bertujuan memecahbelahkan Umno Melaka yang ketika ini sedang bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Rauf berkata, tidak wajar untuk beliau serta pemimpin Umno lain tidak menghormati keputusan pucuk kepimpinan parti sejajar janji dalam manifesto dibuat pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, tahun lalu.

Beliau yang juga exco perindustrian, pelaburan dan pembangunan usahawan negeri menasihatkan semua pemimpin Umno negeri yang pernah membangkitkan isu berkenaan tanpa bukti dan asas kukuh supaya menghentikannya bagi memberi fokus kepada usaha membangunkan Melaka.

“Selaku ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, tidak berada dalam satu keadaan untuk memaksa ketua menteri meletakkan jawatan, untuk apa memaksa beliau (Sulaiman) kerana tiada arahan atau keputusan daripada pucuk kepimpinan parti untuk melakukannya.

“Saya bersama Sulaiman dan semua jentera negeri berada dalam keadaan harmoni dalam menjalankan tugas membangunkan negeri, selaras dengan misi manifesto yang sudah kita buat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

ADUN Tanjung Bidara itu turut mengingatkan semua pihak tidak membuat tuduhan liar yang boleh mengeruhkan suasana untuk menghadapi PRU15 kelak.

Semalam, Pemangku Ketua Umno Bahagian Alor Gajah, Rospandi Leman, dilapor tidak menafikan wujud paksaan pihak tertentu supaya Sulaiman menandatangani surat peletakan jawatan dalam masa terdekat.

Kenyataan itu susulan dakwaan dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ketua menteri Melaka.

Kelmarin, Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Mohamad Ali Mohamad, menafikan khabar angin mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ketua menteri serta menganggap ia sebagai fitnah dan tidak berasas.

Sulaiman yang juga ADUN Lendu mengangkat sumpah jawatan ketua menteri Melaka ke-13 pada 21 Nov tahun lalu selepas Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.