
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Mohd Mahidisham Ishak, berkata suspek berusia 19 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selepas keluarganya menyerahkan remaja berkenaan kepada polis di Balai Polis Gemas, Negeri Sembilan.
Beliau berkata, suspek dipercayai memperdayakan lima mangsa setakat ini melalui pengiklanan sewaan tapak itu di media sosial sehingga melibatkan kerugian berjumlah RM11,300.
“Pada 30 Mac hingga 14 April lalu, JSJK menerima enam laporan polis berkenaan penipuan dalam urusan sewaan tapak bazar Ramadan dan festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil. Dalam kes ini, mangsa dijanji akan memperoleh tapak dengan bayaran pendahuluan RM1,500 hingga RM2,700.
“Mereka menyedari ditipu selepas penganjur bazar itu mengesahkan bahawa program bazar Ramadan serta festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil tidak diteruskan, dan mereka tidak menerima wang pendahuluan oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Mahidisham berkata, remaja yang ditahan merupakan suspek utama dan pemilik akaun bank yang menerima transaksi pemindahan wang pendahuluan dalam kes ini.
“Suspek direman hingga 10 Mei untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai yang ditipu berkaitan sewaan tapak bazar Ramadan dan festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil tampil membuat laporan atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Cheras, G Janarthanan Nair di talian 012 5734374.