
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Khairul Azhar Ismail berkata, sebanyak 23,434 saman bagi kesalahan memandu melebihi had kelajuan dan 1,432 saman kerana memotong barisan dikeluarkan setakat Sabtu.
Beliau berkata, sebanyak 677 saman turut dikeluarkan bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat dan 307 saman kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
“Bagi kesalahan memotong di garisan putih berkembar, sebanyak 304 saman dikeluarkan manakala bagi kesalahan menggunakan lorong kecemasan pula lima saman dikeluarkan setakat ini.
“Kesemua saman dikeluarkan sejak Op Selamat bermula dari 29 April hingga semalam dan akan ada statistik keseluruhan setelah Op Selamat tamat pada hari ini,” katanya kepada pemberita di Plaza Tol Skudai, semalam.
Khairul Azhar juga berkata, sebanyak 2,110 kes kemalangan direkodkan di Johor dengan 18 merupakan kemalangan maut.
“Daripada 18 kes itu, 14 melibatkan penunggang motosikal manakala empat lagi pemandu dan penumpang kereta.
“Terdapat juga 21 kes melibatkan kecederaan parah dan 26 kes cedera ringan serta 2,045 kes bagi kerosakan kenderaan,” katanya selain menambah bahawa kebanyakan kemalangan berlaku di kawasan jalan raya antara daerah.
Beliau berkata, aliran trafik semalam dilihat masih terkawal dan hanya beberapa kawasan mengalami aliran trafik perlahan.
Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati aliran trafik di beberapa lebuh raya setakat petang semalam tidak sesak dan lancar.