
Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi menerima satu laporan polis berkenaan kejadian seorang individu menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya dan memandu secara gopoh di jalan awam pada 1.30 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa tugas mengiringi orang kenamaan melalui Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala susur masuk ke Jalan Sultan Abdul Halim, di sini, pada 11.30 malam 6 Mei lalu.
Katanya, suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada 7 Mei dan direman empat hari mulai 8 Mei.
“Pada 7 Mei jam 1 tengah hari, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah berjaya menangkap lelaki warganegara berusia 36 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut, yang kemudiannya direman selama empat hari mulai 8 Mei hingga 11 Mei,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan fungsi jawatannya, dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu tuduhan memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam.