JAS siasat buih putih di Sungai Skudai

JAS siasat buih putih di Sungai Skudai

Siasatan akan turut dilakukan terhadap premis beroperasi di sepanjang sungai itu, yang dilihat berpotensi menyebabkan pencemaran.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi kira-kira satu minit di Facebook yang memaparkan keadaan Sungai Skudai mempunyai ketulan buih berwarna putih di atas permukaan air. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sedang menyiasat bagi mengenal pasti punca kemunculan ketulan buih putih di Sungai Skudai, di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar berkata, siasatan akan turut dilakukan terhadap premis yang beroperasi di sepanjang sungai itu, yang dilihat berpotensi menyebabkan pencemaran.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kemunculan buih putih yang dikesan di sungai berkenaan sekitar jambatan Jalan Impian di Taman Impian Emas semalam, dan video yang memaparkan keadaan sungai itu turut tular di laman sosial.

Dalam kenyataan di sini hari ini, katanya, beliau bersama penguat kuasa JAS telah turun padang 9 pagi tadi bagi menjalankan siasatan, namun mereka mendapati ketulan buih putih tidak lagi kelihatan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, sampel air sungai di loji rawatan air (LRA) Sultan Ismail berdekatan menunjukkan tahap kualiti air adalah normal, dengan bacaan Oksigen Terlarut (DO) adalah 4.95, manakala pH adalah 7, dan Raven Kumar pada masa sama menjelaskan pencemaran buih yang berlaku tidak menjejaskan operasi loji itu.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi kira-kira satu minit di Facebook yang memaparkan keadaan sungai itu mempunyai ketulan buih berwarna putih di atas permukaan air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.