Tergelincir ke dalam sungai, remaja lemas ketika beraya

Tergelincir ke dalam sungai, remaja lemas ketika beraya

Mangsa dilaporkan tergelincir ke dalam sungai ketika melintasi jambatan di sungai Kampung Banting di Sipitang, semasa beraya bersama keluarga.

Pasukan bomba mengusung mayat remaja yang lemas untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut. (Gambar Bomba)
SIPITANG:
Aktiviti ziarah hari raya bersama keluarga bertukar tragedi apabila remaja lemas selepas tergelincir ke dalam sungai, dalam kejadian di Kampung Banting, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari, mangsa berusia 15 tahun itu ditemui di kawasan berhampiran lokasi dia dikatakan tergelincir, sebelum disahkan meninggal dunia.

Jurucakap Bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan, pada 12.20 tengah hari.

“Mangsa dilaporkan tergelincir ke sungai ketika melintasi jambatan di sungai berkenaan semasa beraya bersama keluarga.

“Mangsa dilaporkan berjaya ditemui keluarganya kira-kira 1.21 petang sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.