KKM siasat kempen saringan darah palsu terhadap warga emas, kata KJ

KKM siasat kempen saringan darah palsu terhadap warga emas, kata KJ

Ia susulan laporan mengenai ejen jualan langsung memperdaya warga emas membeli produk makanan kesihatan tambahan keluaran syarikat itu.

Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan polis untuk mengesan pihak terbabit. (Gambar Freepik)
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan wujud kempen saringan darah palsu bermotifkan penjualan produk kesihatan tambahan yang menyasarkan golongan warga emas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata KKM akan bekerjasama dengan polis untuk mengesan pihak terbabit.

“Sebarang kempen kalau dikenal pasti palsu, kita mesti siasat segera dan kenakan tindakan sewajarnya. Tindakan undang-undang adalah di bawah bidang kuasa polis.

“Kita tidak mahu rakyat terutama golongan warga emas jadi mangsa dan terpedaya dengan kempen seumpama ini,” katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri perdana menteri dan anggota jemaah menteri 2022, di Seri Perdana, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan khas sebuah akhbar tempatan tentang kegiatan ejen jualan langsung yang menganjurkan kempen saringan darah di Lembah Klang bagi memperdaya golongan warga emas untuk membeli produk makanan kesihatan tambahan keluaran syarikat terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.