
Ia susulan pendedahan bahawa sebanyak 17,000 tan sisa makanan dihasilkan pada setiap hari.
Menurut mereka, punca terbesar di sebalik pembaziran itu adalah budaya rakyat Malaysia yang memesan makanan secara berlebihan.
Pengasas What A Waste, Angela Tan yang mengagihkan semula lebihan makanan kepada komuniti terpinggir berkata, rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan untuk menyediakan lebih banyak makanan berbanding jumlah yang diperlukan ketika menerima kehadiran tetamu.
Tan berkata, tuan rumah bimbang bahawa mereka kemungkinan tidak menyediakan jumlah makanan yang cukup di majlis besar seperti perkahwinan dan beliau menggesa supaya pemikiran seperti itu perlu diubah.
Katanya, rakyat Malaysia harus sedar mengenai jumlah yang mereka letak di atas pinggan masing-masing. “Ambil hidangan yang lebih kecil dahulu, kerana anda sentiasa boleh menambahnya kemudian,” katanya.
Seorang pengusaha restoran yang mahu dikenali sebagai Will berkata, biarpun operator perniagaan cuba mengurangkan masalah pembaziran namun pelanggan cenderung memesan makanan secara berlebihan untuk dilihat sebagai penganjur yang bermurah hati.
Katanya, sama ada begitu “atau kerana mereka mahukan pelbagai hidangan tanpa mempedulikan soal pembaziran makanan”.
Manakala K Kunaselvy dari Krishna Curry House berkata, walaupun secara umumnya tidak banyak pembaziran namun sesetengah pelanggan cenderung untuk “berlebihan” ketika menikmati hidangan nasi daun pisang, terutama apabila seseorang itu boleh makan hidangan kedua sayur atau nasi pada harga yang sama.
“Sebarang pembaziran melibatkan nasi dan sayur-sayuran.”
Kunaselvy berkata restorannya mengawal jumlah makanan yang disediakan ketika luar waktu puncak.
“Kami hanya akan memasak hidangan tambahan apabila kehabisan satu hidangan.”
Bulan lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican berkata sebanyak 17,000 tan makanan dibazirkan pada setiap hari, di mana dianggarkan 4,046 tan, atau 24%, adalah sisa makanan yang boleh dielakkan.
Katanya, jumlah makanan yang dibazirkan itu cukup untuk diberi makan kepada tiga juta orang dengan tiga hidangan sehari.