
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V Saravanan berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat, ujian makmal dan kimia mangsa berusia 25 tahun itu.
Ketika ini katanya, polis sudah mengambil keterangan daripada rakan serumah mangsa dan doktor berhubung kes itu.
“Kita akan mengambil kenyataan daripada ahli keluarga mangsa minggu ini.
“Buat masa ini, kematian doktor pelatih itu masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Siasatan punca kematian masih diteruskan,” katanya menurut laporan New Straits Times.
Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai perubatan siswazah yang baharu ditempatkan di HPP pada 4 April lalu, dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri yang disewanya di Jalan Datuk Keramat di George Town pada 17 April lalu.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong mengesahkan kematian doktor pelatih itu dan tidak menolak kemungkinan kes itu diklasifikasikan semula, sekiranya ada bukti baharu.